Tindakan cekap APM buka pintu kereta terkunci di Pasar Lama Betong

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Betong membantu seorang pemandu yang berdepan detik cemas selepas kunci kenderaannya tertinggal di dalam kereta di kawasan Pasar Lama Betong, petang tadi. Foto: APM Betong

BETONG: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong berjaya membantu seorang pemilik kenderaan yang berdepan situasi kunci tertinggal di dalam kereta dalam kejadian di kawasan Pasar Lama Betong, petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.40 petang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurut beliau, sepasukan tiga anggota segera digerakkan ke lokasi pada 2.45 petang dan tiba hanya seminit kemudian bagi menjalankan operasi membantu mangsa.

Katanya, setibanya di lokasi, anggota mendapati pintu kereta tidak dapat dibuka kerana kunci tertinggal di dalam kenderaan.

Beliau berkata, anggota APM kemudian menggunakan peralatan khas dengan teknik mengumpil bagi membuka pintu kereta tanpa menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemilik.

Operasi itu berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat apabila pintu kereta berjaya dibuka dan kunci diserahkan semula kepada pengadu.

Kapten Mohammad Noor berkata, operasi berkenaan melibatkan seorang tiga anggota APM dengan menggunakan sebuah kenderaan JMC LRV bersama kelengkapan menyelamat yang diperlukan.

Beliau turut memaklumkan keadaan di lokasi adalah selamat sepanjang operasi dijalankan serta tiada sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini dilaporkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kunci kenderaan dibawa bersama sebelum mengunci pintu bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menghubungi talian kecemasan APM sekiranya memerlukan bantuan.

Oleh Adi Safarman