LINGGA: Operasi pemadaman kebakaran di tapak pelupusan sampah di Lingga ditangguhkan pada 5.30 petang ini dan akan disambung semula pada keesokan hari berikutan masih terdapat kebakaran serta kepulan asap tebal di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), operasi hari kedua melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bermula pada 9.30 pagi sebelum tiba di lokasi pada 10.20 pagi.
PGO berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran masih berlaku dengan asap tebal, namun keadaan keseluruhannya berada dalam keadaan terkawal hasil tindakan pemadaman yang dijalankan sejak hari pertama.
Bagi mengawal kebakaran, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membentangkan dua aliran hos sepanjang 300 kaki, masing-masing di bahagian hadapan dan belakang kawasan terbakar, menggunakan dua nozel bagi melaksanakan kaedah pembanjiran air (flooding) serta membina penahan api untuk menghalang kebakaran daripada merebak.

Operasi turut dibantu sebuah jentera jengkaut milik kontraktor yang digunakan bagi membuka laluan ke kawasan kebakaran serta membantu pembinaan penahan api di tapak pelupusan sampah tersebut.
Menurut PGO, walaupun usaha pemadaman berjaya mengawal kebakaran di kawasan seluas sekitar 0.4 hektar, operasi terpaksa ditangguhkan pada 5.30 petang.
Katanya, operasi pemadaman akan disambung semula pada hari berikutnya bagi memastikan api dipadam sepenuhnya dan mengelakkan risiko kebakaran berulang.
Operasi itu bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuk jalan utama ke Lingga yang masih dalam pembinaan, liputan komunikasi yang kurang memuaskan serta sumber air terbuka yang terhad di lokasi kejadian.
Operasi turut dipantau Ketua Balai BBP Sri Aman, PPgB Andrew Vengitasamy dan Pegawai Operasi Balai, PBK I Chimian Duyu, selain mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Sri Aman, Polis Diraja (PDRM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sri Aman serta pihak kontraktor.
Terdahulu, pada hari pertama operasi semalam, bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.02 malam sebelum tiba di lokasi pada 8.52 malam dan berjaya mengawal kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah itu.
Namun, kebakaran belum dapat dipadam sepenuhnya berikutan keluasan kawasan terbakar, kepulan asap yang masih tebal serta kekangan sumber air di lokasi.
Oleh Adi Safarman





