ROBAN: Penduduk Rumah Panjang Bia Juing di Batu Burak, Roban kini menarik nafas lega apabila projek menaik taraf bumbung rumah panjang mereka berjaya disiapkan sepenuhnya menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek berkenaan berjaya merealisasikan harapan penduduk yang sekian lama menantikan kemudahan kediaman yang lebih selesa dan selamat.
Menurut beliau, bumbung rumah panjang yang sebelum ini usang dan mengalami kerosakan telah digantikan sepenuhnya, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta kesejahteraan penduduk.
Majlis penyerahan projek siap itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka di Rumah Panjang Bia Juing, semalam.

Mohamad Duri berkata pelaksanaan projek di bawah RTP membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana kerana memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Terima kasih dan tahniah juga kepada pihak kontraktor yang berjaya menyiapkan projek ini lebih awal daripada jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berharap kemudahan yang telah dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk, selain menjadi pemangkin kepada usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar di kawasan DUN Kalaka.
Oleh Adi Safarman




