PENOLONG pengurus Sarawak United FC (SUFC), Abang Suhordie Abang Zaini mahu menamatkan pusingan pertama Liga Premier berdepan Kelantan United FC (KUFC) berakhir dengan kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Beliau berkata, dengan kemenangan, ia sudah pasti menyuntik semangat dan fokus pasukan itu untuk mencatat keputusan lebih baik pada pusingan kedua yang dijangka bermula 20 Jun nanti.
“Saya akui pasukan lawan juga mahukan kemenangan tetapi misi utama pasukan untuk memastikan tiga mata menjadi milik SUFC malam ini.
“Saya mahu pemain dapat melakukannya sekali gus menyaksikan SUFC terus melebarkan jurang mata untuk berada di kelompok atas Liga Premier musim ini,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Abang Suhordie yang semakin berpuas hati melihat peningkatan dipamerkan selepas tidak tewas dalam dua perlawanan terakhir, mengharapkan semua pemainnya agar tidak cepat berasa selesa.
Menurut beliau, mereka perlu terus bekerja keras dalam tiap perlawanan sambil memberikan peringatan, tiada sesiapa dalam pasukan terjamin tempat dalam kesebelasan utama yang diterapkan oleh ketua jurulatih E Elavarasan.
Dalam pada itu, Abang Suhordie mendedahkan SUFC sekali lagi beraksi tanpa kelibat penjaring terbanyak setakat ini, Uche Agba pada aksi menentang KUFC, malam ini.
Bagaimanapun, seorang lagi pemain import, Sandro Da Silva berkemungkinan besar akan diturunkan selepas melihat perubahan positif kecederaan yang melanda beliau sebelum ini.
“Seperti biasa dua pemain import iaitu Taylor Regan serta Lee Chang Hoon pasti diturunkan pada perlawanan malam ini, dan Sandro belum dapat dipastikan lagi, kemungkinan beliau ada dalam senarai,” ujarnya.
Abang Suhordie berkata beliau percaya ketua jurulatih E. Elavarasan mempunyai ramuan tersendiri untuk menghadapi KUFC, sekaligus memastikan tiga mata dalam genggaman pasukannya malam ini.
“Dengan hanya kemenangan yang diraih pada malam ini, saya percaya Sarawak United akan menjarakkan jurang mata dengan pendahulu Liga Premier, Negeri Sembilan FC yang kini mengumpul sebanyak 21 mata iaitu beza satu mata dengan SUFC (20 mata).
“Namun, SUFC mempunyai kelebihan kerana kita kurang satu perlawanan dengan mereka. Sebab itulah perlawanan malam ini pasukan kita harus mendapatkan tiga mata,” tegasnya.
Jelas Abang Suhordie tiga mata sangat penting kepada mereka dan beliau mengharapkan pemainya dapat merealisasikan impian untuk keluar selaku pemenang sebenar.
“Kami perlukan tiga mata ini. Sangat perlu. Saya mahu pemain memberi tumpuan sepenuhnya. Kami kena fokus untuk mendapatkan kemenangan.
“Sepanjang permainan 90 minit malam ini, kita tengok apa yang akan diberikan pemain. Harapannya ialah kejayaan membenam pihak lawan,” tegas beliau.
SUFC kini menduduki di tangga kedua selepas mengharungi sebanyak sembilan perlawanan dengan merekodkan enam kemenangan, dua seri dan sekali kalah.
Manakala skuad KUFC pula kini berada ditangga keempat Liga Premier dengan memungut 16 mata daripada 10 perlawanan.
Oleh ADI SAFARMAN