Larry hargai sokongan rakyat, tekad terus bawa lebih banyak pembangunan

Facebook
WhatsApp
DATUK Larry Sng Wei Shien menerima cenderamata pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Felix Jalin. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepadanya.

Katanya, beliau berkomitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan masyarakat bagi membawa lebih banyak projek pembangunan ke kawasan Julau.

AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat, bertempat di Rumah Felix Jalin, Bukit Seri, Entabai, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

“Program seperti ini memberi peluang kepada saya untuk mendengar tuntutan rakyat dan menjelaskan kerja-kerja pembangunan yang telah dan akan terus dilakukan di kawasan ini.

“Semua projek yang dilaksanakan di Rumah Felix Jalin menerusi peruntukan sebanyak RM43,000 pada 2024 telah berjaya disiapkan dan kini memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Ini adalah harapan saya agar rakyat mendapat manfaat daripada projek yang saya berikan,” katanya selepas merasmikan majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Felix Jalin, Bukit Seri, Entabai, baru-baru ini.

Katanya, majlis tersebut merupakan platform terbaik untuk mendengar sendiri keperluan dan aspirasi penduduk, selain memberi penjelasan mengenai projek pembangunan yang telah dilaksanakan serta perancangan yang akan diteruskan di kawasan ini.

Beliau turut menjelaskan beberapa projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, termasuk projek pembinaan jalan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Jambu, supaya penduduk mengetahui perkembangan pelaksanaan projek tersebut.

“Projek daripada Kerajaan Persekutuan menggunakan simbol harimau, manakala projek kerajaan Sarawak menggunakan simbol kenyalang.

“Ini penting supaya rakyat lebih memahami perbezaan dan sumber pembiayaan bagi setiap projek yang dijalankan,” katanya.

Beliau berharap semua tuai rumah dapat membantu menyampaikan maklumat tersebut kepada penduduk di kawasan masing-masing supaya masyarakat lebih memahami projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.

Larry turut menyerahkan peruntukan berjumlah keseluruhan RM85,000 kepada kesemua penerima bagi menyokong pembangunan komuniti dan pelaksanaan pelbagai aktiviti di kawasan tersebut.

Penerima peruntukan tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bayang, Masit; JKKK Rumah Mauwa, Masit; JKKK Rumah Lanak, Masit; JKKK Rumah Buking, Tanjong Nibong, Kakop; JKKK Rumah Maggie, Kakop; JKKK Rumah Felix Jalin, Bukit Seri; Biro Wanita Rumah Buking; Biro Wanita Rumah Felix Jalin dan projek Starlink Rumah Felix Jalin.

Oleh Earl Anek