KAPIT: Empat lelaki dewasa cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ulu Sungai Kapit, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.07 tengah malam sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi kejadian.

“Jentera tiba di lokasi pada 12.15 tengah malam. Komander Operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan empat mangsa lelaki dewasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dua daripada mangsa didapati tidak sedarkan diri, manakala dua lagi berada dalam keadaan sedar. Kesemua mangsa tidak tersepit namun mengalami kecederaan.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan kerja-kerja menstabilkan mangsa serta memberikan rawatan awal dengan bantuan Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berada di lokasi bagi memberikan rawatan kepada mangsa dengan bantuan anggota bomba.
“Dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan EMRS, manakala dua lagi dibawa menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Oleh Tarani Lanting





