SIBU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan Perodua Myvi yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Bulatan Aman, semalam.
Mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan daripada tempat duduk pemandu oleh anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik.

Ketua Zon Bomba Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.33 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita.
“Seorang mangsa lelaki didapati tidak sedarkan diri serta tersepit di bahagian pemandu, manakala dua lagi mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya.
Menurut beliau, komander operasi mengarahkan anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan hidraulik sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dua lagi mangsa mengalami cedera ringan dan berada dalam keadaan separa sedar diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, manakala anggota bomba turut menjalankan kerja pembersihan (flushing) di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada 4.25 pagi.
Oleh Tarani Lanting





