PUSA: Seorang lelaki berusia 55 tahun mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di pusingan-P Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Simpang Pusa, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.21 pagi.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bersama dua aset utama, iaitu sebuah Jentera Bomba Penyelamat (FRT) dan Jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

Pasukan penyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Hafiz Adris, tiba di lokasi kejadian pada 6.05 pagi.
Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres yang membawa 18 penumpang.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan bagaimanapun dilaporkan berjaya keluar sendiri dari kenderaannya sebelum ketibaan pihak bomba.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) memberikan rawatan awal dengan memasang kolar leher pada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, kesemua 18 penumpang serta pemandu bas berkenaan bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak bomba berjaya mengawal keadaan di lokasi kejadian pada 6.10 pagi.
Selepas memastikan kawasan sekitar selamat dan bebas daripada sebarang risiko bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.20 pagi.
Oleh Adi Safarman




