Bakul Krokedai angkat nama Rumah Jambai, bawa warisan ke pentas lebih luas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BEKENU: Bakul Krokedai, hasil kraftangan tangan Biro Wanita Rumah Jambai, mencuri perhatian apabila menjadi pilihan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengunjungi Karnival Rindok Ati di Bekenu pada 18 Julai lalu.

Pengerusi Biro Wanita Rumah Jambai, Bibi Unding berkata, beliau bersama ahli-ahlinya berasa amat terharu dan bangga apabila hasil kraftangan komuniti rumah panjang mereka mendapat pengiktirafan daripada seorang menteri yang menerajui portfolio pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Menurutnya, Dato Sri Abdul Karim bukan sahaja memilih Bakul Krokedai, malah turut membeli beberapa lagi produk kraftangan yang dihasilkan oleh kumpulan tersebut.

“Pemilihan Bakul Krokedai ini memberi suntikan semangat kepada kami kerana ia membuktikan hasil kraftangan masyarakat rumah panjang mampu menarik perhatian pemimpin di peringkat nasional. Ia menjadi pengiktirafan terhadap usaha kami dalam memelihara seni warisan tempatan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.

SERBU… Dato Sri Abdul Karim ketika berada di gerai kraftangan Biro Wanita Rumah Jambai untuk memilih Bakul Krokedai pada Karnival Rindok Ati baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi pemangkin kepada golongan wanita di Rumah Jambai untuk terus berganding bahu menghasilkan pelbagai produk kraftangan berasaskan warisan budaya yang bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah mampu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga.

Katanya, perusahaan yang digerakkan sepenuhnya melalui inisiatif Biro Wanita dengan menggunakan modal sendiri itu berjaya menghasilkan pelbagai produk yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sepanjang Karnival Rindok Ati.

“Selain memasarkan hasil kraftangan, usaha ini turut membuka ruang kepada wanita untuk menambah pendapatan sampingan, di samping meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan dan penghasilan produk berasaskan budaya tempatan,” ujarnya.

Dalam usaha memperkukuh perusahaan tersebut, Bibi berkata Biro Wanita Rumah Jambai turut menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.

BIBI Unding bersama ahlinya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Katanya, peruntukan berkenaan dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti, membeli bahan mentah serta meningkatkan kapasiti pengeluaran kraftangan agar lebih berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran.

Beliau berharap sokongan berterusan daripada pelbagai pihak akan membantu memperluaskan perusahaan kraftangan komuniti sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk serta menarik lebih ramai wanita menceburi bidang berpotensi itu.

Usaha memperkasa perusahaan kraftangan tempatan dilihat bukan sahaja mampu memperluaskan peluang ekonomi komuniti luar bandar, malah memainkan peranan penting dalam memastikan warisan seni dan budaya masyarakat terus dipelihara, dihargai serta berdaya saing di pasaran yang lebih luas.

Antara kraftangan yang dipamerkan semasa karnival itu ialah topi buriek, sekang rambut buriek, selampai perempuan dan lelaki, sarung bantal, dompet dan kain moden kanak-kanak.

Oleh Adum Liu