SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri terus menyerikan lagi suasana sambutan bulan Ramadan yang berlangsung di kawasan tadbir beliau.
Ia terbukti apabila beliau menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat Lingga menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 700 individu terpilih dari Kampung Datuk, Kampung Tanah Baharu Sembau, Kampung Skait, Kampung Stumbin/ Pangkat, Kampung Agropolitan Seduku dan di Lingga.
Sumbangan Ramadan berkenaan disampaikan oleh wakil pusat tersebut kepada para Ketua Kaum dan ahli Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga untuk diagih kepada individu daripada kampung-kampung berkenaan.
“Individu yang dipilih untuk menerima sumbangan Ramadan ini daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Lingga terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.
“Tujuan utamanya adalah membolehkan golongan berkenaan merasai suasana bulan Ramadan seperti yang dirasai oleh individu-individu berkeupayaan lain di kawasan DUN Lingga ini,” menurut Simoi.
Selain itu, sumbangan berkenaan kata beliau, secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan golongan tersebut yang sebelum ini terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dalam negeri ini.
“Saya mohon kepada penerima sumbangan Ramadan ini agar kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan demi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Kita jaga kita. Amalkan ibadah puasa dalam keadaan selamat dan manfaatkan sepenuhnya sumbangan ini bersama ahli keluarga masing-masing sepanjang sambutan bulan mulia ini,” kata Simoi.
Aktiviti penyampaian sumbangan Ramadan ini adalah merupakan rutin tahunan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Lingga untuk membantu golongan kurang bernasib baik di kawasan Sri Aman, Lingga dan Maludam.
Oleh VALENTINE NGUMBANG