MARUDI: Eunnisse Errince Laing, 22, berbangsa Kayan dari Long Atip berjaya mengalahkan 11 peserta lain apabila dinobatkan sebagai Ratu Regata Baram 2026 yang berlangsung di Dataran Marudi semalam.
Eunnisse membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi, selempang, replika cek, sijil penyertaan serta sejambak bunga.
Selain itu, Eunisse turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Peragaan Terbaik yang melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM300, trofi, selempang, sejambak bunga serta replika cek.
Tempat kedua dimenangi oleh Adlyn Hendry Lawai, 20, berbangsa Kenyah dari Long Mekabar.
Adlyn membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, trofi, selempang, sejambak bunga, replika cek serta sijil penyertaan.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Steffie Anna Apui, 24, berbangsa Kenyah-Saban dari Long Banga yang menerima hadiah wang tunai RM3,000, trofi, selempang, sejambak bunga, sijil penyertaan serta replika cek.
Anugerah Busana Terbaik pula dimenangi oleh Jessica Puyang Vincent dari Long Pillah yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi, selempang, sejambak bunga serta replika cek.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh isteri Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Monica Ukong Jaya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, program tersebut merupakan pentas untuk meraikan identiti, warisan, perpaduan serta semangat kekeluargaan masyarakat Baram yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
“Apabila kita menyebut Regata Baram, kita sebenarnya memperkatakan tentang satu sejarah budaya yang cukup besar nilainya kepada Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Kebudayaan dan Ratu Regata Baram.

Beliau berkata, Regata Baram bukan sekadar perlumbaan perahu atau bot serta pertandingan semata-mata, malah merupakan manifestasi semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Baram yang telah diraikan sejak tahun 1899.
“Inilah kekuatan Baram yang sebenar,” katanya.
Menurut Penguang, Malam Kebudayaan mencerminkan keindahan warisan nenek moyang apabila setiap tarian, alunan muzik tradisional serta pakaian tradisional mempunyai cerita dan makna tersendiri.
Katanya, pertandingan tersebut bukan hanya dinilai berdasarkan kecantikan luaran, sebaliknya menjadi platform untuk melahirkan duta serta ikon budaya yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai keperibadian tinggi dan mampu mempromosikan sejarah, budaya serta keunikan Baram kepada masyarakat luar.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala bersama isteri Datin Eather, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau serta Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang.
Oleh Jiku Juguong




