BINTANGOR: Inisiatif SABERKAS Prihatin terus menjadi wadah Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kebajikan masyarakat sentiasa menjadi antara keutamaan pertubuhan itu menerusi pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Aspek kebajikan masyarakat sentiasa diberikan perhatian dan tidak seharusnya dipandang ringan.
“Semangat saling mengambil berat, membantu dan menyokong antara satu sama lain merupakan nilai penting dalam membina masyarakat yang prihatin, bersatu padu dan saling menyokong,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan SABERKAS Prihatin kepada mantan Pengerusi Kelab Belia Bintangor (KBB), Nur Ashikin Pohji, yang kini sedang menjalani proses pemulihan kesihatan.
Katanya, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan dan sokongan SABERKAS Cawangan Meradong kepada Nur Ashikin serta keluarganya, selain diharap dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung.
Selain menyampaikan sumbangan, beliau turut meluangkan masa bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada Nur Ashikin agar terus tabah dan cekal sepanjang menjalani proses pemulihan.
“SABERKAS Cawangan Meradong akan terus komited mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan bagi memastikan golongan yang memerlukan sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
“SABERKAS Prihatin mencerminkan komitmen berterusan SABERKAS dalam menyemai nilai kemanusiaan, mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Kuong Hiing turut mendoakan agar Nur Ashikin diberikan kekuatan, ketabahan dan kesembuhan yang segera supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga dan masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong Ley Chee Hua, Setiausaha Program SABERKAS Cawangan Meradong Abang Husen serta Bendahari SABERKAS Cawangan Meradong Esther Jong Hui Li.
Oleh Earl Anek



