RATU terjun negara Pandelela Rinong akhirnya membawa sinar buat skuad terjun negara apabila meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform individu wanita di kejohanan terjun Piala Dunia FINA 2021 semalam.
Atlet berusia 28 tahun itu mempamerkan terjunan bertenaga dan menyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan.
Penerjun tuan rumah Matsuri Arai mengumpul 342.00 mata untuk pingat perak manakala Caeli Mckay dari Kanada meraih gangsa dengan 338.55 mata.
Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.
Terdahulu, pada saingan separuh akhir, Pandelela menduduki tempat ketiga dengan 333.00 mata di belakang Mckay dengan 343.85 mata manakala Andrea Spendolini Siriex di tempat kedua dengan 336.00 mata.
Kejayaan Pandelela turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang pantas mengucapkan tahniah kepada atlet negara itu menerusi akaun Twitter dan Facebooknya.
“Defied the odds and now she stands at the top of the podium! (Mengatasi segala kemungkinan dan kini dia berdiri di podium utama!) Tahniah @Pandelela_R !! Kejayaan ini terus menyemarakkan semangat kita semua sebelum acara yang terbesar tahun ini. So so proud of you (Sangat sangat bangga dengan kamu) Pandelela #DemiMalaysia #KontinjenMalaysia,” katanya.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi bekas juara dunia Cheong Jun Hoong hari ini apabila menamatkan saingan di tempat tercorot pada separuh akhir dengan 237.35 mata, berbanding semalam beliau mempamerkan aksi cemerlang mengungguli peringkat kelayakan dengan 345.30 mata.
Bagaimanapun, Jun Hoong masih boleh mengukir senyum setelah berjaya meraih tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.
Terdahulu, penerjun lelaki negara Chew Yiwei gagal dalam percubaannya untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo selepas keputusan tidak memberangsangkan dalam acara 3m papan anjal individu lelaki dengan mencatatkan 315.10 mata untuk menamatkan saingan di tempat ke-43, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.
Rakannya, Muhammad Syafiq Puteh yang mencatat keputusan lebih baik daripada Yiwei apabila menduduki tempat ke-23 dengan 367.35 mata namun atlet berusia 25 tahun itu turut gagal ke separuh akhir.
Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini. – Bernama