Sebanyak 144,894 pekebun kecil KPK terima BUDI Agri-Komoditi – Noraini

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA PILAH: Sebanyak 144,894 pekebun kecil di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) diluluskan untuk menerima BUDI Agri-Komoditi setakat 15 Julai, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau bagaimanapun berkata masih terdapat pekebun kecil yang berkelayakan untuk menerima bantuan subsidi tunai itu, namun belum mendaftar atau tidak memahami proses untuk memohon BUDI Agri-Komoditi.

“Saya berharap masyarakat dapat bertanya, menyemak kelayakan dan mendapatkan penjelasan melalui saluran tepat tentang maklumat yang dapat membantu meningkatkan pendapatan dan kehidupan keluarga,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi MADANI yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Melang, di sini hari ini.

KPK, menurut beliau akan terus memperluas penyampaian maklumat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang menyediakan penerangan berkaitan bantuan, khidmat teknikal, peluang latihan, kerjaya dan perusahaan.

MENTERI Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berucap pada Program Salam Agrikomoditi MADANI di Dataran Melang hari ini. Foto BERNAMA

Ia termasuk menerusi penganjuran Program Salam Agrikomoditi yang diperkenalkan bagi merapatkan jurang antara KPK dengan masyarakat selain memberi orang ramai peluang untuk berinteraksi dengan pegawai kementerian dan agensi secara terus. 

Antara maklumat boleh diperoleh ialah berkaitan bantuan, latihan, pensijilan, khidmat teknikal dan pelbagai peluang yang ditawarkan dalam sektor agrikomoditi. 

Noraini berkata program itu akan diperluas ke seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha kementerian mendekati masyarakat secara berterusan.

“Pendekatan seperti ini membolehkan kita mendengar suara rakyat, memahami keperluan, mengenal pasti kesulitan yang dihadapi serta bentuk bantuan yang benar-benar memberikan manfaat kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata penganjuran program itu memberikan manfaat kepada masyarakat setempat serta membantu membangunkan sektor agrikomoditi di Kuala Pilah.

“Saya yakin hasrat membangunkan semua komoditi di Kuala Pilah dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat, khususnya peladang dan pekebun kecil di sini.

“Kerajaan akan terus memberikan sokongan supaya Kuala Pilah menjadi antara daerah terbaik di negeri ini dan negara,” katanya. – Bernama