SANTIAGO, Chile: Penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha, yang muncul antara wira kejayaan luar biasa Cape Verde pada Piala Dunia 2026, bakal menyertai kelab gergasi Chile, Colo Colo, umum kelab itu.
“Vozinha akan menjadi pemain Colo Colo. Beliau akan tiba di Chile dalam beberapa hari lagi, menjalani pemeriksaan perubatan sebelum diperkenalkan secara rasmi di Stadium Monumental,” kata Presiden Colo Colo, Anibal Mosa kepada pemberita menjelang perlawanan liga.
Vozinha mencuri perhatian pada Piala Dunia apabila mempamerkan aksi cemerlang dalam keputusan seri 0-0 menentang juara dunia, Sepanyol pada peringkat kumpulan, selain beraksi cemerlang ketika Cape Verde tewas 3-2 kepada naib juara, Argentina, selepas masa tambahan pada pusingan kalah mati.
Penjaga gol yang nama penuhnya Josimar Jose Evora Dias itu akan berpindah ke Chile daripada kelab divisyen dua Portugal, Chaves.
Walaupun hanya menandatangani kontrak profesional pertamanya pada usia 26 tahun, beliau pernah beraksi di Cyprus, Slovakia, Moldova dan Angola.
“Beliau berada pada prestasi yang sangat baik, sebab itulah kami mendapatkan khidmatnya,” kata Mosa.
Vozinha turut menjadi sensasi media sosial dengan bantuan pempengaruh terkenal Brazil, Casimiro.
Jumlah pengikutnya di Instagram melonjak daripada sekitar 50,000 kepada hampir 30 juta sepanjang Piala Dunia.
Colo Colo, juara liga Chile sebanyak 34 kali, kini selesa mendahului carta liga ketika musim semasa memasuki pertengahan saingan. – AFP




