ROMPIN: Hampir 15,000 pengisian perjawatan baharu dalam perkhidmatan awam berjaya dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sehingga pertengahan tahun ini.
Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata SPA telah menetapkan sasaran lantikan 30,000 penjawat awam pada tahun ini berbanding 25,000 lantikan pada 2025.
“Kita masih optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pengambilan baharu menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Kembara Kerjaya MADANI SPA di Kolej Komuniti Rompin hari ini.

Beliau berkata lebih 800,000 permohonan berdaftar direkod dalam sistem SPA bagi mengisi peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Jumlah permohonan dijangka akan meningkat melebihi satu juta orang pada tahun ini dengan 1.07 juta pemohon telah diterima pada 2025 dan 1.26 juta untuk 2024,” katanya.
Mengenai Kembara Kerjaya MADANI SPA hari ini, Ahmad Jailani berkata program itu bertujuan memberikan pendedahan mengenai peluang pekerjaan sektor kerajaan termasuk kepada masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata skim perjawatan jururawat yang agak kritikal dan memerlukan penambahan juga mendorong SPA untuk membuat temu duga terbuka melalui Kembara Kerjaya MADANI.
“Sambutan diterima menggalakkan dan turut melakar sejarah apabila merekodkan bilangan kehadiran 400 calon paling tinggi sepanjang inisiatif temu duga bersasar bagi jawatan jururawat lantikan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
– Bernama




