BINTANGOR: Dua individu yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong selepas disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, sepasukan Task Force IPD Meradong menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun sekitar 9.20 hingga 9.30 pagi baru-baru ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong, mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, didapati kedua-dua suspek mempunyai satu rekod bersabit jenayah dadah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Kami menyeru supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.
Oleh Earl Anek





