SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.48 Meluan, Rolland Duat Jubin telah menjalankan lawatan tapak menaik taraf Rumah Muling, Suchong Balut dan Rumah Uding, Suching Balut, Julau, Jumaat lalu.
Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021 DUN N.48 Meluan berjumlah RM100,000 telah diluluskan untuk menaik taraf Rumah Muling sepanjang 14 pintu dan RTP 2021 DUN N.48 Meluan berjumlah RM50,000 untuk menaik taraf Rumah Uding sepanjang lima pintu.
Dalam lawatan yang sama, Rolland turut menyumbangkan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Muling untuk melaksanakan segala aktiviti dan program yang telah dirancang pada tahun ini.
Rolland berkata, beliau sentiasa perihatin dengan keperluan penduduk di kawasan Meluan dan akan terus membantu untuk menaik taraf rumah panjang.
“Saya berharap penduduk setempat terus memberi kerjasama kepada Kerajaan Sarawak untuk kesinambungan pembangunan yang telah dirancang demi kesejahteraan rakyat.
“Saya sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membawa pembangunan infrastruktur, telekomunikasi dan kemudahan asas agar kawasan pedalaman seperti Meluan tidak jauh ketinggalan daripada arus pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, Rolland menyeru semua penduduk setempat untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
“Patuhi SOP yang telah ditetapkan dan sentiasa mengamalkan SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Bagi yang layak untuk mendaftar diri bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, sila daftar dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Muling dan Tuai Rumah Uding dalam ucapan mereka mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada ADUN N.48 Meluan, Rolland Duat Jubin dan Kerajaan Sarawak yang sangat perihatin dengan keperluan rakyat.
Mereka turut menyeru penduduk setempat untuk terus memberi sokongan kepada Rolland dan Kerajaan Sarawak untuk kesinambungan pembangunan di kawasan DUN N.48 Meluan. Turut hadir ialah Penolong Jurutera Majlis Daerah Maradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrak.
Oleh EARL ANEK