PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion dalam usaha kerajaan menangani cabaran jurang digital.
Beliau berkata program itu dijangka memanfaatkan kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar Internet.
Daripada keseluruhan RM3.5 bilion itu, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion, manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.
Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan Internet menjelang 2030,” katanya.
Untuk menangani cabaran jurang digital, Muhyiddin berkata tiga strategi utama diberikan fokus iaitu akses , kemampuan kewangan dan kemahiran.
Kerajaan, katanya sedar dalam aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama di sesetengah kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan rendah.
Beliau berkata kerajaan sudah memperuntukkan penaik tarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang merangkumi rancangan gentian optik, serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.
Kerajaan juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion, katanya.
“Insya-Allah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.