
SIBU: Penghayatan terhadap karya klasik seperti analek perlu terus diperkasakan bagi membentuk kebijaksanaan, nilai moral dan jati diri masyarakat, khususnya ketika dunia memasuki era kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.
Pengerusi Gabungan Persatuan Sekolah Menengah Persendirian Cina Sibu, Datuk Tiong Thai King berkata, meskipun AI dan teknologi digital memudahkan akses kepada ilmu pengetahuan, penghayatan terhadap karya klasik tetap menjadi asas penting dalam membimbing manusia membuat pertimbangan yang bijaksana.
“Lambakan maklumat tidak semestinya melahirkan kebijaksanaan, sebaliknya nilai murni yang terkandung dalam analekta seperti perikemanusiaan, kebenaran, kesopanan, kebijaksanaan dan kepercayaan terus relevan sebagai panduan kehidupan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Analek 4.0 Borneo 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Tiong berkata, penganjuran forum itu merupakan kesinambungan usaha memartabatkan budaya dan pendidikan Cina di Sarawak, selain meneruskan legasi syarahan analekta yang pernah diadakan oleh mendiang Profesor Tseng Shih Chiang di Sibu lebih dua dekad lalu.
Katanya, pendidikan bukan sekadar melahirkan individu berkemahiran, malah perlu disertai pembentukan sahsiah dan nilai budaya yang kukuh.
“Jika sekolah Cina merupakan kekuatan masyarakat, maka pembelajaran karya klasik ialah roh kepada pendidikan itu sendiri. Tanpa roh, pendidikan hanya menjadi tempat melatih kemahiran semata-mata,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran tokoh Konfusianisme dari Taiwan, Profesor Tang Yu Ling, serta keturunan ke-79 Nabi Kongzi (Confucius), Kong Chui Chang bersama isteri, sebagai detik bersejarah yang memperkukuh hubungan budaya masyarakat Cina di rantau ini.
Menurutnya, forum yang menghimpunkan lebih 100 tokoh budaya dari Taiwan, tanah besar China dan Malaysia itu membuktikan bahawa warisan Konfusianisme kekal menjadi khazanah intelektual yang merentasi sempadan.
Beliau berharap forum selama dua hari itu dapat memperkayakan pemahaman peserta terhadap analek dan menyemarakkan usaha memartabatkan pendidikan dan kebudayaan Cina di Sarawak serta Malaysia.
Oleh Akun Giman





