Sarawak-Brunei perkasa kerjasama pelbagai sektor

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Sarawak dan Brunei sepakat memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai aspek pembangunan, khususnya melibatkan ekonomi, infrastruktur awam, tenaga, perdagangan dan pelaburan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan empat mata beliau dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei, baru-baru ini.

Menurut beliau, antara perkara utama yang dibincangkan ialah kemajuan projek Power Interconnection antara Sarawak dan Brunei, yang merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh keselamatan bekalan tenaga di rantau ini.

“Projek ini melibatkan pembinaan talian penghantaran elektrik 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan Pencawang Tudan di Sarawak dengan Pencawang Lumut di Brunei melalui Sungai Tujuh.

“Keseluruhan jajaran projek adalah kira-kira 70 kilometer, dengan 17 kilometer berada di Sarawak dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029,” katanya.

Selain kerjasama tenaga, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan ekonomi yang terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Menurut Awang Tengah, nilai perdagangan dua hala antara Sarawak dan Brunei pada 2025 mencecah RM1.89 bilion, dengan komoditi utama meliputi sektor tenaga, logam, pertanian, penternakan dan makanan laut.

Katanya, kedudukan geografi yang berdekatan memberikan asas kukuh untuk memperluas lagi perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, kawasan utara Sarawak, khususnya Limbang dan Lawas, mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai koridor pertumbuhan ekonomi yang saling melengkapi dengan Brunei.

“Kedudukan strategik kawasan ini membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, perindustrian, logistik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pembangunan ekonomi rentas sempadan,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, beliau berkata lebih 15 syarikat dari Brunei Darussalam yang diketuai oleh Brunei Economic Development Board (BEDB) telah mengadakan lawatan ke Sarawak pada Februari lalu bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik.

Antara sektor yang dikenal pasti ialah tenaga, keterjaminan makanan, akses pasaran PMKS serta pembangunan industri bernilai tinggi.

Sebagai susulan, satu delegasi Sarawak yang dianggotai wakil sektor awam dan swasta akan mengadakan lawatan balas ke Brunei dari 28 hingga 31 Julai ini.

Program tersebut merangkumi sesi perkongsian maklumat, lawatan tapak, mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU).

Awang Tengah berkata, Sarawak berharap hubungan kerjasama dengan Brunei terus diperkukuh bagi mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, kerjasama itu dijangka memberi tumpuan kepada sektor berpotensi tinggi termasuk industri halal, ekonomi digital, pelancongan rentas sempadan dan keterjaminan makanan.