PADAWAN: Sebanyak 28 saman trafik telah dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) IPD Padawan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Batu 17, Jalan Serian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Barry William berkata operasi yang berlangsung dari 2.00 petang hingga 5.00 petang itu melibatkan 16 anggota, terdiri daripada seorang pegawai dan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta seorang pegawai dan tujuh anggota penguat kuasa JPJ.
Beliau berkata sebanyak 52 kenderaan dan 58 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, memandu tanpa lesen, lesen memandu tamat tempoh serta tidak memakai topi keledar,” katanya.
Barry berkata tiada tangkapan, rampasan atau sitaan dilakukan sepanjang operasi tersebut, selain tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurutnya, operasi dijalankan dalam keadaan cuaca baik dan mencerminkan komitmen berterusan PDRM serta JPJ dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas.




