Sarawak Energy beri amaran e-mel palsu menyamar sebagai syarikat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sarawak Energy memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap e-mel penipuan yang menyamar sebagai syarikat itu dan cabang operasi serta peruncitannya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO).

Dalam kenyataan hari ini, Sarawak Energy memaklumkan e-mel berkenaan bukan dikeluarkan oleh pihaknya, sebaliknya menggunakan nama, penjenamaan atau identiti kakitangannya secara tidak sah bagi kelihatan tulen.

E-mel pancingan data itu dipercayai bertujuan memperdaya penerima supaya mendedahkan maklumat sulit, membuat bayaran ke akaun bank tidak dibenarkan atau menekan pautan serta membuka lampiran berbahaya yang boleh menjejaskan maklumat peribadi dan kewangan.

PETIKAN kenytaan Sarawak Energy yang memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap e-mel penipuan yang menyamar sebagai syarikat itu dan Syarikat SESCO Berhad (SESCO).

Sarawak Energy mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan meminta pelanggan mendedahkan kata laluan, kata laluan sekali guna (OTP) atau maklumat peribadi sensitif melalui e-mel.

Pelanggan juga tidak akan diminta membuat bayaran ke akaun bank peribadi atau akaun yang tidak dibenarkan.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak alamat e-mel penuh pengirim dengan teliti kerana komunikasi rasmi Sarawak Energy menggunakan domain @sarawakenergy.com.

Bagaimanapun, mereka tetap perlu berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi Sarawak Energy sekiranya menerima sebarang permintaan luar biasa atau tidak dijangka.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membalas e-mel mencurigakan, menekan pautan atau memuat turun lampiran daripada sumber yang tidak dikenali dan belum disahkan.

Sebarang permintaan berkaitan arahan pembayaran atau perubahan maklumat akaun bank hendaklah disahkan terus dengan Sarawak Energy sebelum transaksi dibuat, manakala bayaran hanya perlu dilakukan melalui saluran bil dan pembayaran rasmi yang dibenarkan.

Sarawak Energy turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap e-mel yang kelihatan dihantar oleh kakitangannya tetapi mengandungi permintaan luar biasa, pautan atau lampiran mencurigakan serta maklumat pengirim yang tidak konsisten.

Syarikat itu memaklumkan pihaknya sedang memantau keadaan berkenaan dengan teliti dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu tersebut.

Sarawak Energy turut memberi jaminan bahawa proses bil rasmi, saluran pembayaran yang dibenarkan serta operasi perkhidmatan pelanggannya kekal selamat dan tidak berubah.

Orang ramai yang menerima e-mel atau komunikasi mencurigakan yang mendakwa mewakili Sarawak Energy diminta melaporkannya dengan segera untuk pengesahan bagi membantu mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Laporan boleh dibuat menerusi Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com atau aplikasi SEB Cares.

Semua laporan akan dikendalikan secara sulit dan disiasat sewajarnya.