MIRI: Industri minyak dan gas darat Sarawak kembali mencatat perkembangan penting selepas hampir 50 tahun apabila Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petra Energy Berhad (PEB) berjaya memulakan pengeluaran minyak pertama daripada Sistem Pengeluaran Awal (EPS) Adong Kechil West (AKW) di Blok SK433.
Pencapaian itu menandakan kebangkitan semula industri petroleum darat Sarawak, selain membuktikan potensi sumber hidrokarbon negeri yang terus dibangunkan menerusi pendekatan diterajui Sarawak.
Projek berkenaan susulan daripada kerja penggerudian telaga penilaian dan pembangunan AKW pada 2023, yang menjadi asas kepada usaha menghidupkan semula pembangunan sumber petroleum darat Sarawak meskipun berdepan kerumitan teknikal dalam pengurusan takungan minyak dan gas darat.

Pendekatan pembangunan secara berfasa menerusi EPS membolehkan pengeluaran dimulakan lebih awal, di samping menyediakan data penting berkaitan takungan dan operasi untuk menyokong perancangan pembangunan lapangan pada masa akan datang.
Data yang dikumpulkan itu akan digunakan bagi menyokong pembangunan bersepadu penemuan petroleum di kawasan sekitar sebagai kelompok AKW, sekali gus mengoptimumkan potensi sumber dan memastikan bekalan gas jangka panjang dapat diperkukuh.
AKW dijangka mampu menghasilkan sehingga sekitar 800 tong minyak sehari.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak Petros, Dato Abang Arabi Abang Narudin berkata, pencapaian itu bukan sekadar menandakan kejayaan satu projek, sebaliknya mencerminkan kekuatan kerjasama yang menjadi asas kepada pelaksanaannya.
“Sebagai Pengurus Sumber Sarawak bagi Operasi Petroleum Darat, Petros kekal komited untuk memastikan penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon negeri dilaksanakan secara bertanggungjawab menerusi kerjasama berfokus serta kecemerlangan operasi.
“Usaha ini penting bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sarawak dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fasa seterusnya pembangunan AKW akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan pengeluaran serta infrastruktur penting bagi memastikan bekalan gas dapat disalurkan secara berterusan untuk projek Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri yang disasarkan mula beroperasi menjelang akhir 2027.
Pembangunan itu dijangka membantu memperkukuh daya tahan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan tenaga masa depan Miri, di samping menyokong keselamatan tenaga jangka panjang Sarawak.
Kejayaan memulakan pengeluaran minyak pertama daripada AKW turut mengesahkan potensi sumber hidrokarbon darat Sarawak dan mengukuhkan komitmen Petros untuk meneroka serta membangunkan sumber berkenaan secara bertanggungjawab demi memperkukuh daya tahan tenaga negeri serta manfaat rakyat Sarawak.





