SIBU: Seramai 152 murid daripada keluarga B40 menerima cermin mata mengikut preskripsi menerusi program ‘Vision For Future 2.0’ anjuran Junior Chamber International (JCI) Mandarin Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, penglihatan yang baik merupakan aset penting bagi setiap murid kerana menjadi asas kepada proses pembelajaran serta membuka peluang untuk mereka mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
Menurutnya, keupayaan melihat dengan jelas bukan sahaja membantu murid membaca tulisan di papan putih, malah membolehkan mereka memberi tumpuan di dalam kelas, memahami pelajaran dengan lebih berkesan dan mengembangkan potensi diri sepenuhnya.

“Masih terdapat murid daripada keluarga B40 dan golongan yang memerlukan berdepan masalah penglihatan tetapi tidak mampu mendapatkan pemeriksaan mata atau cermin mata yang sesuai.
“Keadaan ini boleh menjejaskan prestasi akademik, keyakinan diri dan masa depan mereka,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa, hari ini.
Chieng berkata, program itu amat bermakna kerana bukan sahaja menyediakan pemeriksaan mata secara percuma, malah membekalkan cermin mata mengikut preskripsi kepada murid yang memerlukan.
“Apabila kita membantu seseorang anak melihat dengan lebih jelas, kita sebenarnya membantu mereka belajar dengan lebih baik,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen JCI Mandarin Sibu yang terus menghayati semangat khidmat masyarakat melalui kerjasama dengan pakar optometri, penaja, sukarelawan dan pihak sekolah bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan mata.
“Kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, institusi pendidikan dan masyarakat mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan kanak-kanak, khususnya mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Presiden JCI Mandarin Sibu, Simon Tiong berkata, ‘Vision For Future 2.0’ merupakan projek utama (Flagship Project) pertubuhan itu yang kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
Menurutnya, seramai 551 murid daripada keluarga B40 telah menjalani saringan mata secara percuma, dengan 152 daripadanya dikenal pasti memerlukan cermin mata dan menerima bantuan tersebut pada majlis berkenaan.
Katanya, pemberian cermin mata bukan sekadar memenuhi keperluan penglihatan, malah memberi harapan baharu kepada kanak-kanak untuk belajar dengan lebih yakin dan mencapai potensi sebenar mereka.
“Cermin mata bukan sekadar alat untuk melihat dengan lebih jelas, tetapi merupakan peranti perubatan yang penting bagi membantu perkembangan pembelajaran dan kesihatan mata kanak-kanak.
“Cermin mata yang diberikan hari ini turut dilengkapi kanta khas yang membantu menapis cahaya radiasi daripada skrin digital, sekali gus memberi perlindungan tambahan kepada mata murid yang semakin kerap menggunakan peranti elektronik dalam pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata, pengesanan awal masalah penglihatan penting bagi mengelakkan komplikasi seperti mata malas (amblyopia), mata juling (strabismus), rabun jauh yang semakin tinggi (high myopia) serta gangguan penglihatan lain yang boleh menjejaskan perkembangan akademik kanak-kanak.
Katanya, JCI Mandarin Sibu memberi keutamaan kepada murid daripada keluarga B40 kerana memahami cabaran kewangan yang dihadapi sebahagian ibu bapa sehingga pembelian cermin mata sering diketepikan demi memenuhi keperluan asas keluarga.
“Kami percaya setiap anak berhak melihat dengan jelas, belajar dengan yakin dan mengejar impian mereka tanpa mengira latar belakang keluarga.
“Apabila seorang anak dapat melihat dengan jelas, mereka berpeluang memperoleh pendidikan yang lebih baik, sekali gus mengubah kehidupan keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara,” katanya lagi.
Program bertemakan ‘Mata Sihat, Masa Depan Cerah’ itu menyaksikan penyerahan cermin mata kepada 152 murid yang dikenal pasti memerlukan selepas menjalani saringan mata, sekali gus mencerminkan komitmen JCI Mandarin Sibu dalam memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada pendidikan hanya kerana masalah penglihatan.
Turut hadir, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SK Sentosa, Mohaya Sahni, Penasihat Undang-undang Am JCI Mandarin Sibu merangkap bekas presidennya, Boston Ho serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Jerry Kiing.
Oleh Akun Giman




