Bomba pantau kebocoran gas di NCH sektor Kuala Lawas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LAWAS: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan operasi pemantauan susulan insiden kebocoran gas yang dikesan di tapak pembinaan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) di Kampung Dato, di sini, petang semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 5.00 petang sebelum sepasukan anggota dikerah  ke lokasi yang jauhnya 24 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mengesahkan berlaku kebocoran gas lalu memasang sawar keselamatan pada jarak sekitar 40 meter dari kawasan kebocoran.

PANTAU KEBOCORAN… Anggota bomba melakukan pemantauan di lokasi kebocoran gas di kawasan NCH. – Foto Bomba Lawas

“Pihak kontraktor turut diarahkan menghentikan semua aktiviti di lokasi sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, operasi pemantauan akan diteruskan secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal.

Kebocoran gas yang sama turut dialami di dua lokasi tapak ujian pengerudian bagi laluan NCH di Kuala Lawas.

Oleh Adeng Edrus