Seorang ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol, 26 saman dikeluarkan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Jalan Tabuan, awal pagi semalam.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira 1.00 pagi selepas pemeriksaan mendapati kandungan alkohol dalam badannya melebihi had yang dibenarkan.

Menurutnya, hasil ujian pernafasan mengesahkan suspek dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, BSPT IPD Kuching turut mengeluarkan sebanyak 26 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membendung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kemalangan serta tindakan undang-undang.