SIBU: Loji Rawatan Air Nibong Tada berkapasiti lima juta liter sehari (5 MLD) kini berfungsi dengan baik dan membekalkan bekalan air bersih kepada 847 isi rumah di kawasan sekitar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, lawatan susulan beliau ke loji berkenaan membuktikan sistem rawatan air menggunakan teknologi Teknologi Akut (Acute System) beroperasi dengan berkesan dalam memastikan bekalan air yang bersih dan selamat kepada penduduk.
Menurutnya, loji tersebut memperoleh sumber air mentah dari Sungai Rajang melalui muka sauk yang terletak sekitar 200 meter dari lokasi loji.

“Bekalan air mentah didapati mencukupi, stabil dan boleh dipercayai seperti yang disaksikan ketika lawatan ke lokasi muka sauk.
“Saya bersama rombongan turut meninjau proses rawatan air di bahagian atas loji, bermula daripada air mentah yang disalurkan masuk sehingga diproses menjadi air terawat yang bersih,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke loji berkenaan, hari ini.
Julaihi berkata, rombongan turut diberi peluang melihat sendiri perbezaan antara air mentah dan air terawat dengan mengambil sampel air menggunakan bekas yang disediakan di loji.
“Air yang dihasilkan adalah bersih dan menepati standard air minuman yang ditetapkan,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datu Jafri Lias, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Tamida Daadi serta yang lain.
Oleh Akun Giman




