Jual produk rokok tidak patuh label, individu didenda RM2,000 di Miri

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Tindakan memiliki produk merokok yang tidak mematuhi syarat pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan untuk tujuan jualan mengundang padah apabila seorang individu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Miri.

Individu berkenaan yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dalam kenyataan hari ini berkata, kesalahan itu dilakukan di dua premis masing-masing di Permyjaya Technology Park, Jalan Tudan dan tingkat bawah, Al Byat Square di sini.

“OKS didapati dengan sengaja memiliki untuk tujuan jualan produk merokok yang dipamerkan dan disimpan untuk dijual kepada orang awam.

“Produk berkenaan bagaimanapun tidak mematuhi kehendak pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Pertuduhan dibaca bersama Peraturan 8(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024 serta kehendak amaran kesihatan dalam Bahagian II, Jadual Kelima peraturan sama.

Hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 15(2)(a)(i) Akta 852.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dengan kerjasama pegawai penyiasat dan pegawai penguat kuasa yang terlibat.

Pejabat Kesihatan Bahagian Miri turut mengingatkan semua individu, peniaga, pemilik serta pengendali premis supaya memahami dan mematuhi sepenuhnya Akta 852 serta semua peraturan yang berkuat kuasa di bawahnya.

Oleh Liong Chai Ling