Kerajaan Sarawak percepat pengukuran tanah NCR, tolak dakwaan rampas tanah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MALUDAM: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam melindungi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan sejak 2010 bagi memastikan pemilik tanah memperoleh dokumen hak milik yang sah serta sempadan tanah yang jelas.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan tidak pernah memandang remeh isu tanah NCR, malah telah mengkaji kaedah terbaik untuk mempercepatkan proses pengukuran supaya tanah adat diiktiraf secara sah dan tidak diceroboh.

Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), diikuti pengukuran lot individu serta pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

DATUK Len Talif Salleh semasa hadir pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Kampung Triso Darat, semalam. Foto: Jabatan Tanah Dan Survei Betong

“Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera Inisiatif Baharu ini diperkenalkan hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP) Sabah-Sarawak Bumiputera Lab pada 2010 dan dipantau melalui Program Khas Bumiputera (PKB) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Kampung Triso Darat, semalam.

Menurut Len Talif, sehingga 30 Jun 2026, Jabatan Tanah dan Survei telah berjaya menyukat perimeter tanah NCR seluas sekitar 1.24 juta hektar di seluruh negeri, dengan 967,743 hektar daripadanya telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

Bagi pengukuran lot individu pula, sebanyak 111,488 lot melibatkan keluasan 133,617 hektar telah berjaya disukat, manakala 38,620 lot berkeluasan 54,031 hektar telah dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak. 

Pada majlis itu, seramai 46 penduduk Kampung Triso Darat menerima surat hak milik masing-masing.

Len Talif turut menolak dakwaan bahawa kerajaan merampas tanah melalui pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak. 

Tegas beliau, dakwaan tersebut tidak benar kerana langkah itu bertujuan melindungi tanah yang diiktiraf serta memastikan pengurusannya lebih tersusun demi kepentingan pemilik dan generasi akan datang.

Beliau menegaskan kejayaan program bergantung kepada kerjasama penuntut tanah NCR, termasuk bersetuju dengan proses pengukuran, menyediakan rentisan sempadan yang jelas, memastikan tanah bebas daripada pertikaian serta menghadirkan pemilik yang berkongsi sempadan ketika kerja penyukatan dijalankan.

Katanya lagi, surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak mempunyai pelbagai keistimewaan termasuk dikecualikan cukai tanah dan premium serta memberikan pegangan hak milik kekal. 

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak menjual tanah warisan demi keuntungan jangka pendek, sebaliknya memanfaatkan tanah untuk menjana pendapatan melalui pelbagai inisiatif pemodenan pertanian yang disediakan kerajaan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; dan Pemangku Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Patricia Ngu Ming Hung.

Oleh Adi Safarman