KUCHING: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mendedahkan beliau disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 3C selepas menjalani pemeriksaan kesihatan susulan batuk berpanjangan dan keletihan yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkongsi perkara itu menerusi episod khas audio siar The Game of Impossible bersama anaknya, Leon Jala, sambil memaklumkan akan mengundurkan diri buat sementara waktu sebagai hos bagi memberi tumpuan kepada rawatan.
Menurut Idris, beliau pada awalnya hanya menyangka pemeriksaan di sebuah pusat perubatan itu adalah rutin selepas mengalami batuk yang tidak sembuh-sembuh, sebelum imbasan sinar-X dan CT mendedahkan kewujudan ketumbuhan pada paru-paru kirinya.
“Imbasan CT menunjukkan terdapat ketumbuhan pada paru-paru kiri saya sebesar bola tenis. Doktor juga mengesan kemungkinan jangkitan pada beberapa nodus limfa serta satu lagi ketumbuhan kecil di paru-paru kanan.
“Keputusan biopsi kemudiannya mengesahkan saya menghidap kanser malignan paru-paru tahap 3C. Berita itu benar-benar mengejutkan kami sekeluarga kerana kami datang ke hospital untuk pemeriksaan biasa tetapi pulang dengan diagnosis kanser,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pernah merokok, beliau telah berhenti sejak kira-kira 30 tahun lalu dan tidak lagi menyentuh rokok atau cerut sepanjang tempoh itu.
Katanya, pakar memaklumkan pembedahan bukan lagi pilihan memandangkan kanser yang dihidapinya berada pada tahap 3C, sebaliknya beliau dijangka menjalani gabungan rawatan seperti kemoterapi, radioterapi, terapi sasaran dan imunoterapi bergantung kepada keputusan ujian lanjut.
Idris berkata, beliau akan menjalani beberapa pemeriksaan termasuk imbasan PET-CT, imbasan otak dan ujian darah bagi menentukan jenis kanser, sama ada ia telah merebak ke bahagian lain tubuh serta rawatan yang paling sesuai.
Beliau turut memaklumkan Leon akan meneruskan peranannya sebagai hos audio siar The Game of Impossible sepanjang beliau memberi tumpuan kepada proses rawatan.
Idris sebelum ini dikenali sebagai tokoh korporat yang berjaya memulihkan prestasi Malaysia Airlines (MAS), apabila membawa syarikat penerbangan nasional itu daripada kerugian RM1.3 bilion pada 2005 kepada keuntungan RM852 juta dua tahun kemudian.
Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS dari 2005 hingga 2009 sebelum dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2009, sekali gus menjadi individu Orang Ulu pertama menyandang jawatan menteri di peringkat Persekutuan.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dari 2009 hingga 2015 dalam menerajui Program Transformasi Negara.
Pada 2014, Bloomberg menyenaraikan Idris sebagai antara 10 pembuat dasar paling berpengaruh di dunia.
Selepas PEMANDU dibubarkan pada 2017, beliau kini merupakan Presiden dan Pengerusi Pemandu Associates Sdn. Bhd.
Oleh Shahrul Qaizat





