
KUCHING: Video tular di media sosial mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai selepas memaparkan seorang pemuda terjun dari Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching, semalam.
Rakaman yang dikongsi secara meluas itu memaparkan pemuda berkenaan terjun ke Sungai Sarawak dari jambatan ikonik tersebut, manakala beberapa individu yang berada di lokasi kedengaran bersorak memberi galakan.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ramai mengecam tindakan berbahaya tersebut sebagai cuai dan mengundang risiko, manakala sebahagian lagi memberikan komen berunsur jenaka.
Antara komen yang dikongsikan mengingatkan bahawa tiada aksi yang berbaloi jika nyawa menjadi taruhan.
Ada juga yang berseloroh mengatakan pemuda itu sepatutnya menikmati pemandangan Sungai Sarawak dan menikmati juadah di Tebingan Kuching, bukannya terjun ke dalam sungai.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, ketika dihubungi Utusan Sarawak, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu, dan setakat ini belum dapat dipastikan sama ada sebarang tindakan akan diambil.
Insiden itu turut mencetuskan semula perbincangan mengenai aspek keselamatan di lokasi pelancongan popular.
Ramai pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan perbuatan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pelaku serta anggota penyelamat.
Sebelum ini, beberapa kelibat buaya pernah dilaporkan kelihatan di kawasan Sungai Sarawak di bawah Jambatan Darul Hana.
Oleh Connie Chieng





