KUCHING: Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak terus menjadi platform membentuk generasi muda yang berketerampilan, berfikiran kritis serta mampu berhujah secara berhemah.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Azizul Ismail berkata, pertandingan yang dianjurkan sejak 1989 dan dijenamakan semula sebagai Forum Remaja MADANI pada 2025 itu bertujuan memperkasa penggunaan bahasa Melayu menerusi forum, perbincangan dan penghujahan berkualiti, di samping membina keyakinan serta keterampilan pelajar.

Menurutnya, pertandingan tersebut bukan sekadar menguji kemahiran berbahasa, malah berperanan melahirkan bakal pemimpin yang mampu menyampaikan pandangan secara matang dan beradab.
“Yang penting ialah kita mahu melahirkan bakal pemimpin, khususnya di Sarawak, yang berani berhujah serta mampu menyampaikan hujah dengan baik dan penuh kesantunan berbahasa.
“Golongan muda sememangnya berkobar-kobar dalam menyampaikan pandangan, namun melalui forum ini kita membentuk mereka supaya berani menyuarakan pendapat dengan adab dan sopan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Sarawak 2026 di DBP Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.

Dr Azizul berkata, sambutan terhadap pertandingan tahun ini amat menggalakkan apabila sebanyak 50 pasukan menyertai pertandingan tersebut, namun hanya lima pasukan terbaik berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Lima sekolah yang akan berentap pada peringkat akhir ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab Kuching, SMK Methodist Sibu, SMK Kubong, Limbang dan SMK Kabong.
Katanya, johan pertandingan akan mewakili Sarawak ke Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan 2026.
Peringkat akhir dijadual berlangsung pada 29 Julai ini di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak dan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.





