
KUCHING: Sebanyak 16 pasukan mewakili sembilan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Sarawak bakal berentap dalam penganjuran sulung Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 18 Ogos ini di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Menurut kenyataan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) penuertaan itu melibatkan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti ICATS, UiTM Cawangan Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, IPG Kampus Rajang dan IPG Kampus Batu Lintang.
Katanya, kejohanan itu mencerminkan komitmen institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh budaya pemikiran kritis, kepimpinan serta pengucapan awam dalam kalangan mahasiswa menerusi platform debat bertaraf negeri.
“Penganjuran kejohanan turut mendapat sokongan sektor korporat dan rakan strategik dengan Bintulu Port Holdings Berhad sebagai Rakan Sokongan Platinum, diikuti Sacofa Sdn. Bhd. dan Press Metal selaku Rakan Sokongan Emas.
“Sokongan daripada penaja dan rakan strategik itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan modal insan, kepimpinan belia serta budaya pemikiran kritis melalui platform debat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang lima hari penganjuran, Pesta Debat Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026 akan diserikan dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti sebelum kemuncaknya pada 18 Ogos apabila juara sulung kejohanan itu dinobatkan.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara berkenaan, khususnya pada perlawanan akhir yang akan berlangsung di Dewan Jubli, UiTM Kampus Samarahan 1 pada 18 Ogos bagi menyaksikan aksi pendebat universiti terbaik dari seluruh Sarawak serta pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang pesta debat tersebut.





