Lebih 532,000 dewasa bukan cina belajar mandarin, cipta rekod Asia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Bahasa Mandarin yang suatu ketika mungkin dilihat sebagai kemahiran tambahan kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan Cina, dengan lebih 532,000 pelajar dewasa mengikuti kelas bahasa itu sejak 2014.

Perkembangan itu direkodkan oleh Kunkwan International Online Mandarin Training Centre menerusi pencapaian 532,257 pelajar dewasa bukan Cina dalam kelas Mandarin secara dalam talian yang dikendalikan tenaga pengajar, dengan laluan pembelajaran HSK (Hanyu Shuiping Kaoshi).

Jumlah berkenaan turut melayakkan pusat latihan itu menerima pengiktirafan ASIA Records bagi kategori Most Non-Chinese Adult Learners in Instructor-Led Online Mandarin Classes with HSK Pathway Since 2014, bersempena dengan program Extraordinary Live 2026, di sini baru-baru ini.

REKOD ASIA… Pengasas Kunkwan International Online Mandarin Training Centre, Kent Ng Kun Wan bergambar bersama sijil pengiktirafan ASIA Records selepas pusat latihan itu mencipta rekod dengan lebih 532,000 pelajar dewasa bukan Cina mengikuti kelas bahasa Mandarin secara dalam talian sejak 2014, pada program Extraordinary Live 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto Bernama

Pengasas pusat itu Kent Ng Kun Wan berkata peningkatan minat terhadap pembelajaran Mandarin dalam kalangan masyarakat bukan penutur asli menunjukkan bahasa tersebut semakin dilihat sebagai satu kemahiran yang boleh membuka ruang kepada peluang baharu, termasuk dalam kehidupan seharian, kerjaya dan dunia perniagaan.

Beliau berkata program Extraordinary Live 2026 yang bertemakan “Your Mandarin Upgrade” turut menjadi platform bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat selain memberi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk berani mempelajari bahasa Mandarin.

“Melalui tema ‘Your Mandarin Upgrade’, kami berharap lebih ramai masyarakat bukan Cina berani mempelajari bahasa Mandarin dan menjadikan bahasa ini satu kelebihan untuk membuka lebih banyak peluang dalam kehidupan.

“Rekod Asia ini bukan sekadar satu pencapaian untuk Kunkwan, tetapi juga milik setiap pelajar yang berani mencabar diri, terus belajar dan berusaha menjadi insan yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan. 

Program dua hari itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta dari Malaysia dan Indonesia, selain menampilkan 14 penceramah daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi pengalaman dan inspirasi berkaitan pembelajaran bahasa Mandarin.

Ng berkata Kunkwan akan terus memperluas akses kepada pembelajaran bahasa Mandarin bagi membantu lebih ramai ahli masyarakat bukan penutur asli menguasai bahasa itu, sekali gus menggalakkan komunikasi antara budaya dan mempersiapkan individu menghadapi cabaran masa depan. – Bernama