Buaian gergasi di puncak Swiss tarik pelancong ketika salji Alps semakin berkurangan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
GAMBAR ini menunjukkan pelancong menikmati BalancAIR, buaian gergasi baharu di puncak Grand Chamossaire yang terletak di atas Villars-sur-Ollon, barat Switzerland, pada 20 Julai 2026. Foto AFP

VILLARS-SUR-OLLON, Switzerland: Ketika kerusi kabel menghampiri puncak Grand Chamossaire di pusat peranginan ski Villars di Banjaran Alps Switzerland, jeritan ketakutan dan kegembiraan bergema di udara.

Di puncak gunung pada ketinggian 2,110 meter, sebuah struktur berbentuk huruf “V” berdiri megah di bawah sinaran matahari musim panas, menempatkan buaian gergasi yang menghayunkan pengunjung merentasi jurang luas dengan panorama Banjaran Alps yang memukau.

“Saya berasa sedikit gementar sebelum dipasang tali keselamatan,” kata Alexandra Henchoz, 37, yang mencuba buaian baharu itu bersama suami dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun.

“Namun, sebaik sahaja buaian itu bergerak, perasaannya sungguh luar biasa. Anda berasa seolah-olah seekor burung yang sedang terbang.”

BALANCAIR dirasmikan pada awal bulan ini, buaian Grand Chamossaire merupakan inisiatif terbaharu pusat peranginan di Banjaran Alps untuk menarik pelancong pada musim panas serta mengoptimumkan penggunaan kemudahan lif ski berikutan taburan salji yang semakin tidak menentu akibat perubahan iklim. Foto AFP

Buaian Grand Chamossaire yang mula dibuka awal bulan ini merupakan usaha terbaharu pusat peranginan ski di Banjaran Alps untuk menarik lebih ramai pelancong di luar musim sejuk, di samping memanfaatkan kemudahan lif ski ketika salji semakin tidak menentu akibat perubahan iklim.

“Kami benar-benar berusaha mempelbagaikan tarikan yang ditawarkan,” kata Ketua Kawasan Ski Villars-Gryons-Diablerets, Martin Deburaux, kepada AFP.

Menurutnya, buaian setinggi 12 meter itu menjadi tarikan baharu yang boleh beroperasi tanpa bergantung pada keadaan salji.

Bersedia menghadapi kekurangan salji

Deburaux berkata, pusat peranginan itu mencatat jumlah pengunjung tertinggi sepanjang dua musim ski lalu apabila pemain ski yang kebiasaannya mengunjungi kawasan tanah rendah memilih cerun yang lebih tinggi dan mempunyai salji yang lebih tebal.

“Namun, kami sedar bahawa perubahan iklim sedang berlaku,” katanya.

BUAIAN setinggi 12 meter itu menjadi tarikan baharu yang boleh beroperasi tanpa bergantung pada keadaan salji. Foto AFP

“Kami sedang mencari alternatif bagi mengekalkan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti serta memastikan kelangsungan ekonomi pelancongan yang dibangunkan berasaskan kemudahan lif ski.”

Pada masa ini, pusat peranginan itu menerima lebih 700,000 pengunjung pada musim sejuk, berbanding hanya kira-kira 100,000 orang pada musim panas.

Deburaux berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung musim panas sehingga tiga kali ganda dalam tempoh beberapa tahun akan datang menerusi pelbagai aktiviti baharu.

Di kawasan berhampiran, laluan pendakian dipenuhi pengunjung, manakala penunggang basikal lasak lengkap dengan topi keledar dan kelengkapan keselamatan menuruni laluan tanah yang curam.

Laluan itu turut melalui karya seni landskap sementara hasil artis Perancis, Saype, yang melukis imej seorang kanak-kanak di lereng bukit.

Menurut Deburaux, buaian baharu itu sengaja dibina di kawasan yang sememangnya menjadi tumpuan pengunjung, manakala kawasan lain dibiarkan kekal dalam keadaan semula jadi bagi memenuhi kehendak mereka yang ingin menikmati keindahan alam tanpa gangguan.

Ketakutan bertukar kegembiraan

Buaian itu, yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang memiliki tiket lif ski, mampu membawa tiga orang pada satu-satu masa.

BUAIAN baharu itu sengaja dibina di kawasan yang sememangnya menjadi tumpuan pengunjung, manakala kawasan lain dibiarkan kekal dalam keadaan semula jadi bagi memenuhi kehendak mereka yang ingin menikmati keindahan alam tanpa gangguan. Foto AFP

Setiap peserta duduk di atas pelana yang dipasang pada struktur logam berbentuk kambing gurun Alps (Alpine ibex), sambil memegang pemegang tangan sebelum diikat kemas dengan tali keselamatan.

Sistem kabel dan takal kemudian menarik buaian sehingga membentuk sudut 90 darjah, menyebabkan peserta tergantung menghadap ke bawah, tegak di atas platform logam yang jauh di bawah.

Apabila kabel keselamatan dilepaskan, buaian itu meluncur laju merentasi jurang, disusuli jeritan kegembiraan dan ketakutan, sebelum pemandangan indah lembah serta Banjaran Alps yang berbatu dan masih diselaputi salji terbentang luas di hadapan mereka.

“Perasaan tergantung di atas sebelum dilepaskan memang luar biasa,” kata Yannick Boudouin, 38.

“Ia seperti mengalami jatuh bebas seketika sebelum bertukar menjadi pengalaman yang amat menyeronokkan,” kata pasangannya, Anais Fougairolles, 31.

Sementara itu, Marc Truffer, 70, mengakui beliau pada mulanya berasa amat takut sebelum akhirnya menikmati pengalaman tersebut.

“Ia sangat menakutkan… saya langsung tidak mampu menjerit,” katanya kepada AFP.

“Saya hampir tidak dapat bernafas ketika meluncur ke bawah, tetapi pemandangannya sungguh menakjubkan.” – AFP