SPAOH: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh berjaya menangkap seekor ular sawa batik yang memasuki sebuah kedai makan di Pasar Spaoh, semalam, sekali gus mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.28 pagi sebelum empat anggota Skuad Charlie digerakkan ke lokasi dua minit kemudian.
Menurut beliau, pasukan APM tiba di lokasi pada 7.33 pagi selepas menerima laporan daripada seorang wanita, Diana Binti Ain, yang melihat seekor ular memasuki ruang di bawah peti sejuk beku di premis berkenaan.
Katanya, pengadu menghubungi APM kerana bimbang akan keselamatan dirinya serta pekerja kedai makan sekiranya reptilia itu bertindak agresif.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati seekor ular sawa batik sedang bersembunyi di bawah peti sejuk beku seperti yang dilaporkan oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi menangkap reptilia itu dijalankan menggunakan peralatan khas, termasuk penyepit ular dan penjerut, sebelum haiwan berkenaan berjaya ditangkap dengan selamat.
Katanya, ular sawa batik sepanjang dua kaki itu berjaya dikawal tanpa sebarang insiden kecederaan membabitkan orang awam mahupun anggota penyelamat.
Operasi yang melibatkan empat anggota APM itu selesai pada 7.40 pagi sebelum pasukan beredar dari lokasi dan tiba semula di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) pada 7.45 pagi.
Kapten Mohammad Noor menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan ular atau hidupan liar berbahaya.
Sebaliknya, mereka disaran segera menghubungi pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.
Oleh Adi Safarman





