KOTA SAMARAHAN: Lot Fasa 1 Kampung Tanjung Bundong muncul juara Pertandingan Ola Bola sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 selepas menewaskan Lot Fasa 2 Kampung Tanjung Bundong 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Padang Bola Sepak Kampung Tanjung Bundong, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Lot Fasa 1 membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta piala dan medal, manakala Lot Fasa 2 selaku naib juara menerima RM600 berserta medal.

Tempat ketiga bersama pula menjadi milik Kampung Tanjung Bundong Tradisi dan Lot Fasa 3 Kampung Tanjung Bundong yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM400 berserta medal.
Pertandingan anjuran Unit Saberkas Lot Fasa 2 Kampung Tanjung Bundong itu menghimpunkan empat pasukan mewakili kawasan masing-masing sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Hari Sarawak 2026.
Selain aksi bola sepak, program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sukaneka yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat tanpa mengira usia.

Antara acara yang dipertandingkan ialah lari dalam guni, motosikal paling perlahan, anyaman ketupat individu, tumbuk buah kelapa menggunakan tangan, kutip kacang hijau menggunakan penyepit, tendangan penalti secara tutup mata serta pertandingan meniup belon sehingga pecah.
Penganjuran program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan dalam kalangan belia, malah memperkukuh semangat perpaduan, kebersamaan dan silaturahim dalam komuniti di samping menyemai rasa cinta terhadap Sarawak melalui penglibatan aktif masyarakat.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang.





