SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri mencadangkan agar Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Daerah Saratok menjalinkan kerjasama strategik dengan Kolej Universiti I-CATS bagi memperkukuh pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di daerah berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama itu juga boleh diperluaskan bersama Yayasan Sarawak bagi menggalakkan lebih ramai murid dari Daerah Saratok melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak, sekali gus membuka peluang pendidikan berkualiti kepada generasi muda.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat DUN Kalaka, beliau komited untuk terus menyokong usaha memperkasakan sektor pendidikan demi manfaat 5,049 murid yang sedang menuntut di sekolah seluruh Daerah Saratok.
“Saya akan terus menyokong dan membantu pihak berkaitan dalam usaha memajukan anak-anak di Daerah Saratok, termasuk meneroka kerjasama yang dapat meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti berteraskan STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Tadbir PGBM Cawangan Daerah Saratok di Bilik Mesyuarat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok, semalam.

Duri berkata, hubungan erat antara PGBM, institusi pengajian tinggi dan agensi pendidikan negeri mampu melahirkan lebih ramai pelajar berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Sementara itu, kunjungan hormat berkenaan bertujuan memperkenalkan Pegawai Tadbir Baharu PGBM Cawangan Daerah Saratok bagi sesi 2026 hingga 2028, selain mengeratkan hubungan bersama wakil rakyat dan membincangkan perkembangan pendidikan di daerah tersebut.
Pengerusi PGBM Cawangan Daerah Saratok, Wong Poh Tien berkata, PGBM Daerah Saratok dianggotai 13 Pegawai Tadbir selain ahli jawatankuasa yang dilantik bagi menggerakkan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pendidikan.
Beliau berkata, PGBM Cawangan Daerah Saratok yang bernaung di bawah Persatuan Guru Besar Malaysia beroperasi dalam kawasan pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok, menghimpunkan guru besar sekolah rendah daripada pelbagai aliran dan lokasi.
Menurutnya, persatuan itu berperanan sebagai wadah profesional dalam menjaga kebajikan serta memupuk permuafakatan dalam kalangan guru besar, di samping menjadi penghubung antara guru besar dengan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta PGBM di peringkat negeri dan kebangsaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Wong yang turut berkongsi hala tuju serta perancangan persatuan dalam memperkasakan pendidikan di Daerah Saratok menerusi kerjasama pelbagai pihak.
Antara objektif utama program itu adalah memperkenalkan barisan Pegawai Tadbir baharu PGBM Cawangan Daerah Saratok bagi sesi 2026 hingga 2028, bertukar pandangan mengenai perkembangan pendidikan, meneroka peluang kerjasama strategik demi kepentingan sekolah, guru dan murid, selain mendapatkan pandangan serta sokongan wakil rakyat terhadap pelaksanaan program pendidikan yang dirancang.
Oleh Adi Safarman




