Agihan bendera semarakkan semangat Hari Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SEMARAKKAN SEMANGAT HARI SARAWAK… Dr Sim dan Lau mengagihkan bendera kepada pemilik premis perniagaan, penjaja dan orang ramai di sekitar bandar Sibu, semalam.

SIBU: Pengagihan bendera Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak bukan sekadar simbolik, malah menjadi medium menyemarakkan semangat cintakan Sarawak, memperkukuh perpaduan serta menghargai sejarah dan identiti negeri ini.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, pengagihan bendera itu membawa makna yang besar kerana bendera Sarawak melambangkan identiti bersama rakyat, sejarah perjuangan serta perjalanan pembangunan negeri ini.

“Walaupun pengagihan bendera ini kelihatan ringkas, namun ia membawa makna yang amat besar. Ia melambangkan perjuangan serta perjalanan pembangunan Sarawak, selain menyemarakkan lagi semangat cintakan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam program pengagihan bendera Sarawak kepada pemilik premis perniagaan, penjaja dan orang ramai di sekitar bandar Sibu, semalam.

Menurutnya, program tersebut juga menjadi platform untuk mendekati komuniti perniagaan dan penduduk setempat, termasuk peniaga, pengusaha makanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi antara tonggak utama pertumbuhan ekonomi Sibu.

Katanya, dedikasi dan kerja keras golongan itu selama ini telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan dan wajar terus diberikan sokongan.

Lau turut membangkitkan beberapa isu pembangunan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan kepada Dr Sim, selain bertukar pandangan mengenai keutamaan pembangunan serta keperluan masyarakat setempat.

Katanya, usaha akan diteruskan bagi memastikan aspirasi rakyat Bawang Assan diberi perhatian dan diambil kira dalam perancangan pembangunan Sibu pada masa depan, di samping mendapatkan lebih banyak projek pembangunan berorientasikan rakyat.

Beliau turut menggesa orang ramai agar terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama demi membangunkan Sibu serta Sarawak yang lebih makmur dan progresif.

“Saya yakin perpaduan akan terus menjadi kekuatan utama dalam memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Oleh Akun Giman

Marvel kembali gegarkan Comic-Con

SAN DIEGO: Peminat komik dari seluruh dunia kembali berhimpun di San Diego, California, hari ini bagi menghadiri edisi terbaharu persidangan