Penunggang motosikal cedera selepas rempuh pacuan empat roda

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MUKAH: Seorang penunggang motosikal cedera di kaki kanan selepas motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum tercampak ke dalam parit di simpang masuk Politeknik, Jalan Mukah-Oya, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.35 petang.

ANGGOTA bomba mengeluarkan penunggang motosikal yang terjatuh ke dalam parit selepas merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang masuk Politeknik, Jalan Mukah-Oya, petang tadi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Gabriel Mangella tiba di lokasi pada 5.43 petang.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum penunggangnya terhumban ke dalam parit berhampiran.

“Mangsa mengalami kecederaan pada kaki kanan,” katanya dalam kenyataan.

ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang cedera selepas tercampak ke dalam parit dalam kemalangan di Jalan Mukah-Oya, petang tadi.

Beliau berkata, anggota bomba mengeluarkan mangsa dari dalam parit menggunakan pengusung sebelum pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi yang melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera EMRS berjaya dikawal pada 5.55 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 6.07 petang.