LINGGA: Sebanyak 332 karton air mineral telah diagihkan kepada penduduk di beberapa rumah panjang dan kampung di kawasan Seduku dan Lingga sebagai langkah membantu mereka yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak beberapa minggu lalu.
Menurut kenyataan media Saberkas Cawangan Lingga, bantuan itu diselaraskan bagi memastikan keperluan bekalan air minuman penduduk dapat dipenuhi sementara menunggu bekalan air kembali pulih.
Agihan bantuan tersebut dilaksanakan oleh wakil Saberkas Lingga dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sekali gus memastikan proses penghantaran berjalan lancar, teratur dan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Rumah Johnson di Seduku Ulu menerima agihan terbesar iaitu sebanyak 78 karton air mineral, diikuti Rumah Jemmy di Tanjung Aboi sebanyak 46 karton.
Selain itu, Rumah Tuntu di Seduku Ili dan Rumah Laka di Kampung Upik masing-masing menerima 34 karton air mineral.

Rumah Perindu di Kampung Sungai Pisang serta Rumah Unok di Tanjung Aboi Baru pula masing-masing menerima 32 karton.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasar Lingga menerima 40 karton, manakala Rumah Anthony di Seduku Ulu menerima 20 karton.
Rumah Sang di Seduku Tengah turut menerima 16 karton bagi membantu penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air.
Saberkas Lingga berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan situasi yang menjejaskan kehidupan harian.

Saberkas Lingga turut merakamkan penghargaan kepada APM Daerah Sri Aman serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyelarasan dan penghantaran bantuan berkenaan.
Katanya, kerjasama erat antara agensi dan pertubuhan masyarakat amat penting bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada penduduk yang memerlukan.
Penduduk di kawasan terjejas juga diharap terus bersabar sementara menunggu bekalan air kembali pulih sepenuhnya.
Saberkas Lingga akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam memantau keadaan semasa serta menyalurkan bantuan sewajarnya sekiranya diperlukan.
Usaha tersebut diharap dapat memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara sehingga masalah gangguan bekalan air dapat diselesaikan sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman




