SIBU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti penyewa dan pemilik premis yang terjejas akibat kebakaran membabitkan blok rumah kedai di Jalan Khoo Peng Loong, di sini, bagi membolehkan bantuan susulan disalurkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung mereka yang terjejas.
“Di pihak JKM, kami akan mendata penghuni, penyewa atau pemilik kedai untuk tindakan bantuan susulan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran hari ini.

Menurut Fatimah, kebanyakan premis yang terlibat merupakan premis sewaan, manakala siasatan berhubung punca kebakaran dan status perlindungan insurans sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama agensi berkaitan.
Beliau turut mempertahankan tindakan penutupan jalan di kawasan berkenaan dengan menjelaskan langkah itu perlu bagi menjamin keselamatan orang ramai berikutan struktur bangunan yang berisiko runtuh.
Katanya, laluan tersebut dijangka dibuka secara berperingkat selepas pihak bomba selesai menjalankan operasi di lokasi.
Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, kebakaran membabitkan satu blok yang mempunyai 13 unit rumah kedai berjaya dikawal kira-kira dua jam selepas panggilan kecemasan diterima pada 1.29 tengah hari semalam.

Menurutnya, api dipercayai cepat merebak berikutan kewujudan bahan mudah terbakar seperti minyak, tiner, plastik dan getah yang disimpan di dalam premis, selain reka bentuk bangunan lama yang memudahkan api merebak ke lot bersebelahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan kebakaran kerana struktur bangunan masih tidak stabil selepas sebahagian lantai tingkat atas runtuh ketika operasi pemadaman dijalankan.
Oleh Tarani Lanting



