SHINGU, Jepun: Sebuah pantai di barat Jepun baru-baru ini memulakan acara musim panas yang membolehkan pengunjung berenang selama beberapa jam sehari berhampiran dua ekor ikan lumba-lumba spesies Risso yang dilepaskan dari sangkar di sebuah teluk kecil, lapor Kyodo News.
Pengunjung teruja dan gembira dapat melihat ikan lumba-lumba itu dari jarak dekat di pantai di Taiji, Wilayah Wakayama, pada hari pertama acara berkenaan yang diadakan pada Jumaat. Haiwan itu akan dilepaskan antara 11.00 pagi dan 1.00 tengah hari sehingga 16 Ogos.
Dua ekor ikan lumba-lumba betina itu masing-masing berukuran kira-kira tiga meter dan 2.5 meter. Kawasan berkenaan dipagari dengan jaring bagi mengelakkan haiwan itu berenang keluar ke laut lepas.
“Ini satu-satunya pantai di Jepun yang membolehkan orang ramai berenang bersama ikan lumba-lumba,” kata penjaga haiwan itu, Erena Tamazawa, 24.
“Pengalaman paling menarik ialah dapat melihat haiwan itu dalam persekitaran yang hampir menyerupai habitat semula jadinya,” katanya. – Bernama




