
BINTULU: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush musnah dalam kebakaran di Kampung Jepak, di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.02 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada 2.10 petang, kira-kira lima kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah Toyota Rush terbakar 100 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera bomba.
Api berjaya dikawal pada 2.20 petang sebelum operasi ditamatkan lima minit kemudian.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Polly Untang, membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera bomba dan penyelamat (FRT).



