KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 dikesan berlaku di Utara Sumatera pada 12.18 tengah hari tadi, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa bumi itu dikesan pada kedudukan 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer (km).
“Lokasi pusat gempa terletak kira-kira 55 km Barat Daya dari Langsa, Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MetMalaysia meminta orang ramai yang merasai gegaran tersebut untuk mengisi borang soal selidik yang disediakan bagi membantu usaha pengumpulan maklumat berkaitan kesan gempa bumi tersebut. -Bernama



