
AGENDA ‘Sarawak First’ atau ‘Utamakan Sarawak’ bukanlah slogan politik yang lahir secara tiba-tiba, apatah lagi sekadar alat kempen pilihan raya. Ia berakar daripada sejarah pembentukan Malaysia pada 1963, ketika Sarawak menyertai sebuah persekutuan baharu bersama Sabah, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Penyertaan itu disertai jaminan tertentu melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan dokumen berkaitan yang mengiktiraf kedudukan, kepentingan serta ciri khas Sarawak.
Sewajarnya, aspek ini perlu dibaca bersama dengan aspek Perjanjian 18 perkara dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Pengecilan ruang
Namun, sepanjang beberapa dekad, wujud persepsi bahawa proses pemusatan kuasa di peringkat Persekutuan telah mengecilkan ruang autonomi Sarawak.
Isu pembangunan tidak seimbang, hak terhadap sumber, perwakilan politik dan pelaksanaan semangat MA63 membentuk rasa tidak puas hati yang akhirnya berkembang menjadi kesedaran politik baharu.
Daripada sinilah lahir tuntutan supaya hubungan Sarawak dengan Putrajaya tidak lagi bersifat terlalu bergantung, sebaliknya diasaskan pada penghormatan, perundingan dan kesaksamaan.
Fasa moden agenda ini mula terserlah di bawah Allahyarham Adenan Satem pada 2014. Beliau mengangkat hak Sarawak, autonomi, penglibatan anak negeri, kesederhanaan beragama dan hubungan lebih tegas dengan Kerajaan Persekutuan sebagai arus utama politik negeri.
Adenan berjaya mempopularkan keyakinan bahawa kepentingan Sarawak paling baik difahami dan dipertahankan oleh rakyat Sarawak sendiri. Pendekatan itu bukan sahaja memberi wajah baharu kepada politik negeri, malah juga memperkukuh kebanggaan wilayah yang sebelumnya sering bersifat defensif.

Pembentukan GPS
Agenda tersebut kemudian diinstitusikan selepas Pilihan Raya Umum 2018 apabila empat parti komponen Barisan Nasional Sarawak keluar daripada gabungan itu lalu menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 12 Jun 2018.
Langkah ini penting kerana buat pertama kali, parti pemerintah negeri tidak lagi berada di bawah struktur organisasi gabungan yang berpusat di Semenanjung. ‘Sarawak First’ lalu berubah daripada sentimen politik menjadi doktrin pemerintahan.
Di bawah Abang Johari Tun Openg, doktrin itu diperluas melalui usaha menuntut hak di bawah MA63, meningkatkan hasil negeri, membina institusi milik Sarawak dan merangka dasar berdasarkan keperluan geografi serta masyarakat tempatan.
Sarawak tidak lagi mahu sekadar bertanya mengenai projek yang akan disediakan Putrajaya, tetapi mula melahirkan keyakinan untuk apa-apa yang mampu dibina, dibiayai dan diurus sendiri. Perubahan ini membawa Sarawak daripada budaya permohonan kepada budaya keupayaan.
Utamakan Sarawak
Daripada sudut tadbir urus, inilah sumbangan terbesar ‘Sarawak First’. Kerajaan negeri kini lebih berani memasuki sektor strategik seperti tenaga, kewangan, pendidikan, digitalisasi, infrastruktur, pengangkutan dan penyiaran. Ia juga meningkatkan kuasa tawar-menawar Sarawak dalam Persekutuan.
Dalam suasana politik nasional yang sering tidak stabil, sokongan Ahli Parlimen Sarawak menjadi penting kepada pembentukan dan kelangsungan Kerajaan Persekutuan. Hubungan Kuching-Putrajaya lalu menjadi lebih berunding, lebih transaksional dan lebih seimbang.
Namun, kuasa tawar-menawar tidak semestinya menjamin tadbir urus yang baik. Semakin banyak kuasa dan hasil dimiliki negeri, semakin tinggi tanggungjawabnya.
Rakyat berhak menuntut bukti bahawa hasil tambahan diterjemahkan kepada jalan raya lebih baik, bekalan air dan elektrik yang stabil, internet yang boleh diakses, sekolah berkualiti, kemudahan kesihatan yang dekat serta peluang pekerjaan yang bermaruah.
Autonomi tanpa akauntabiliti hanya memindahkan pusat kuasa, bukan menyelesaikan masalah rakyat.
Politik legitimasi
Daripada aspek politik, ‘Sarawak First’ mengukuhkan legitimasi parti tempatan. GPS berjaya menampilkan dirinya bukan sekadar sebagai kerajaan negeri, tetapi sebagai pelindung utama hak dan identiti Sarawak.
Persaingan politik tidak lagi hanya berkisar antara kerajaan dengan pembangkang. Ia dibingkaikan melalui persoalan lebih emosional misalnya menegaskan pihak yang boleh dipercayai untuk mempertahankan Sarawak ketika berunding dengan Putrajaya.
Kerangka ini terbukti berkesan apabila dalam pilihanraya negeri 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi, manakala dalam PRU 2022, gabungan itu memperoleh 23 daripada 31 kerusi Parlimen Sarawak.
Keputusan tersebut menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi mengaitkan kekuatan parti tempatan dengan kestabilan, perlindungan kepentingan negeri dan pengaruh lebih besar di peringkat nasional.
Pada tahap psikologi politik, agenda ini telah mengubah cara ramai rakyat melihat kedudukan Sarawak. Kesedaran sebagai wilayah pinggiran beransur-ansur digantikan oleh kesedaran sebagai wilayah pengasas Malaysia.
Perbezaan ini penting. Ia melahirkan keyakinan bahawa Sarawak bukan sekadar satu unit pentadbiran biasa, tetapi rakan pengasas yang mempunyai sejarah, kepelbagaian, kedudukan dan hak tersendiri.
Anak Sarawak
Pada masa sama, identiti anak Sarawak semakin berfungsi sebagai payung politik yang merentas Melayu-Melanau, Dayak, Cina dan kelompok lain.
Penekanan terhadap pragmatisme, keterangkuman agama serta pembangunan membantu membina solidariti wilayah yang tidak terikat sepenuhnya pada satu kaum atau agama. Inilah kekuatan Sarawak yang wajar dipelihara.
Bagaimanapun, perubahan ini tidak berlaku secara seragam. Kesedaran tentang MA63, autonomi dan hak negeri lebih menonjol di ruang bandar, media dan kalangan berpendidikan.
Di pedalaman, ukuran politik sering lebih praktikal seperti dikaitkan penilaian kejayaan pembinaan jalan, bekalan air bersih, elektrik, klinik, sekolah, mengawal harga barang dan penilaian terhadap peluang ekonomi.
Maka, kejayaan simbolik tidak boleh menggantikan keadilan pembangunan. Selagi jurang bandar-pedalaman kekal luas, ‘Sarawak First’ masih belum mencapai makna sosialnya yang sebenar. Agenda ini kini sedang memasuki fasa generasi kedua.
Generasi pertama menumpukan pemulihan hak, pengiktirafan sejarah dan pembinaan institusi negeri. Generasi kedua mesti menumpukan mutu kehidupan, mobiliti sosial dan daya saing anak muda.
Golongan muda tidak akan berpuas hati dengan kebanggaan simbolik jika peluang memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi terbatas, kos kehidupan meningkat, graduan terpaksa berhijrah ke negeri atau kota dan peluang keusahawanan tertumpu kepada kelompok tertentu.
Melangkah ke depan
Sejajar dengan itu, wajarlah patriotisme wilayah perlu diterjemahkan kepada pendidikan berkualiti, ekonomi digital, inovasi, latihan teknikal dan akses saksama kepada modal.
Tanpa pembaharuan ini, slogan yang berjaya menyatukan generasi terdahulu mungkin kehilangan daya tarikan dalam kalangan generasi yang menilai kerajaan berdasarkan hasil, bukannya sejarah semata-mata.
Persoalan sama ada agenda ini bertentangan dengan identiti Malaysia juga harus dijawab secara jernih. Pada asasnya, ia bukanlah usaha pemisahan, tetapi bentuk federalisme tegas.
Sarawak boleh memiliki identiti wilayah yang kuat tanpa menolak identiti nasional. Dalam persekutuan yang matang, kesetiaan kepada negeri dan negara tidak saling menafikan. Malah, Malaysia hanya akan kukuh apabila wilayah anggotanya berasa dihormati, bukan diserap oleh pemusatan melampau.
Namun, terdapat garis pemisah antara regionalisme konstruktif dengan regionalisme eksklusif. Regionalisme konstruktif menuntut keadilan, pengiktirafan perlembagaan dan pemerkasaan tempatan dalam kerangka Malaysia.
Regionalisme eksklusif pula melihat semua pihak luar sebagai musuh, memupuk sentimen bermusuhan atau menjadikan identiti negeri sebagai alasan untuk menolak tanggungjawab nasional. ‘Sarawak First’ kekal sihat hanya selagi ia berada dalam lingkungan pertama.
Risiko demokratik
Agenda ini juga membawa risiko demokratik. Apabila satu gabungan terlalu berjaya mengidentifikasikan dirinya dengan seluruh negeri, kritikan terhadap kerajaan boleh disalah tafsir sebagai kritikan terhadap Sarawak dan ini berbahaya kerana menyokong hak Sarawak dan mengkritik kelemahan kerajaan negeri bukanlah dua perkara yang bercanggah.
Sebaliknya, semakan, ketelusan dan pembangkang berkesan diperlukan agar perjuangan negeri tidak dimonopoli oleh satu parti.
Oleh itu, masa depan ‘Sarawak First’ perlu dinilai melalui empat ukuran utama. Pertama, aspek penyampaian iaitu sejauh mana kuasa dan hasil tambahan mampu memperbaiki kehidupan harian rakyat.
Kedua, keterangkuman, iaitu sejauh mana manfaat pembangunan dapat dirasai secara adil oleh masyarakat pedalaman, komuniti Dayak, Cina, Melayu-Melanau, golongan belia dan kelompok berpendapatan rendah.
Ketiga, akauntabiliti, iaitu keperluan memastikan kestabilan politik disertai dengan ketelusan, integriti dan mekanisme semak dan imbang yang berkesan.
Keempat, kelestarian, iaitu keupayaan Sarawak membina ekonomi yang lebih pelbagai dan tidak terlalu bergantung pada minyak, gas serta sumber asli.
Rumusan
Ternyata slogan ‘Utamakan Sarawak’ telah mengubah hubungan antara identiti, kerajaan dan kuasa. Ia meningkatkan keyakinan rakyat, mengukuhkan parti tempatan dan menggeser federalisme Malaysia ke arah perundingan yang lebih seimbang, mendapatkan hak yang adil dan menegakkan maruah politik.
Namun, kejayaan sebenar agenda ini tidak akan diukur melalui banyaknya hak yang dituntut, institusi yang diwujudkan atau slogan yang diulang. Ia akan dinilai melalui impak langsung terhadap kualiti kehidupan rakyat biasa.
Makna terbaik ‘Sarawak First’ bukanlah Sarawak melawan Malaysia, tetapi Sarawak yang cukup kuat untuk memperkukuh Malaysia, dan cukup makmur untuk memastikan tiada seorang pun anak Sarawak tertinggal.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.





