Tanam nanas celah sawit tambah pendapatan penduduk luar bandar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Penduduk luar bandar khususnya di Ulu Suai dan Niah digalakkan memanfaatkan ruang di kawasan tanaman kelapa sawit dengan mengusahakan nanas sebagai tanaman selingan bagi menjana sumber pendapatan tambahan.  

Menurut hantaran di laman Facebook Jabatan Pertanian Sarawak, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, tanaman nanas terutama varieti SG1 mempunyai potensi sebagai tanaman bernilai tinggi yang mampu memberikan pulangan memberangsangkan sekiranya diusahakan secara sistematik.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya membiarkan tanah yang tersedia tanpa dimanfaatkan, sebaliknya perlu berani melakukan perubahan dengan meneroka tanaman makanan yang mempunyai nilai komersial.

“Jika kita tidak bergerak untuk maju, kita akan terus kekal hidup dalam kemunduran.

“Kejayaan dalam sektor pertanian memerlukan perubahan sikap, kesungguhan, disiplin, kerajinan serta kesediaan untuk berfikir dengan cara baharu,” katanya seperti dipetik dalam hantaran berkenaan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Frankie John, Sungai Sawai, Ulu Suai, di sini, baru-baru ini.

Program selama dua hari pada 18 dan 19 Julai itu menghimpunkan masyarakat setempat, agensi kerajaan serta rakan strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor pertanian luar bandar.

Menurut hantaran itu, Stephen Rundi turut menggesa Pejabat Pertanian Bahagian Miri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) supaya terus memperkukuh bimbingan kepada petani menerusi khidmat nasihat, pemindahan teknologi serta pemantauan secara berterusan.

Katanya, AgriCOP bukan sekadar menjadi platform penyampaian ilmu dan teknologi pertanian, malah berperanan mencetuskan inspirasi kepada masyarakat luar bandar untuk mengenal pasti perusahaan pertanian yang bersesuaian dengan potensi kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan pengeluaran padi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.

“Pada masa sama, kajian terhadap ekosistem pertanian perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan dapat dilakukan secara mampan tanpa menjejaskan alam sekitar,” ujarnya.

Oleh Liong Chai Ling