KUCHING: Perpaduan rakyat serta usaha mempertahankan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan masa depan negeri ini terus ditentukan oleh rakyat Sarawak sendiri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar memperingati sejarah, malah menjadi peringatan bahawa setiap generasi memikul tanggungjawab membina Sarawak yang lebih maju, makmur dan bersatu.
Menurut beliau, hak-hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 perlu terus dipertahankan demi menjamin kesejahteraan rakyat serta masa depan generasi akan datang.

“Hak-hak ini bukan untuk kepentingan politik semata-mata, tetapi untuk memastikan masa depan Sarawak terus ditentukan oleh rakyat Sarawak sendiri demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya dalam perutusan khas sempena Sambutan Hari Sarawak 2026.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperjuangkan hak negeri seperti yang diperuntukkan dalam MA63 di samping meneruskan agenda pembangunan berteraskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan kejayaan menukar status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri sebagai antara pencapaian penting dalam usaha memperkukuh autonomi dan hak Sarawak.
Katanya, Sarawak kini berada pada landasan kukuh hasil pelbagai pencapaian termasuk pengiktirafan sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia, peningkatan hasil negeri, kepimpinan dalam tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hidrogen serta pengukuhan industri minyak dan gas.
Beliau turut berkata pelaburan baharu terus mengalir ke Sarawak dengan disokong pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan dan kemudahan digital yang dipercepatkan.
Selain itu, beliau berkata, Sarawak turut mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai Kluster Perindustrian dalam Peralihan (Transitioning Industrial Cluster, TIC), sekali gus menjadi kluster perindustrian pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.
Mengulas mengenai sambutan Hari Sarawak, beliau berkata kekuatan sebenar negeri ini bukan hanya terletak pada kekayaan sumber asli, sebaliknya pada keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam suasana saling menghormati.
“Hari Sarawak bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi mengingatkan kita untuk terus mempertahankan perpaduan, memperjuangkan hak Sarawak, memajukan ekonomi negeri dan membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.





