KUCHING: Hari Sarawak yang disambut pada setiap 22 Julai bukan sekadar memperingati detik bersejarah negeri ini, sebaliknya menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan iltizam seluruh rakyat dalam meneruskan agenda pembangunan demi masa depan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tarikh bersejarah itu turut mencerminkan semangat rakyat Sarawak yang sentiasa bersatu hati, saling menghormati serta berganding bahu dalam memacu kemajuan negeri.
Menurut beliau, kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi identiti Sarawak merupakan kekuatan terbesar negeri ini dan perlu terus dipelihara.

“Dengan semangat Segulai Sejalai, marilah kita terus melangkah ke hadapan, memperkukuh perpaduan, memacu pembangunan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya dalam Perutusan Khas sempena Hari Sarawak 2026, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak kekal komited merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi mentransformasikan Sarawak sebagai wilayah maju berpendapatan tinggi.
Katanya, usaha itu akan dipacu menerusi pembangunan ekonomi digital, tenaga hijau, inovasi, pembangunan modal insan serta tadbir urus yang cekap demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Abang Johari turut menyatakan keyakinan bahawa dengan iltizam, kerjasama dan komitmen semua pihak, Sarawak akan terus melakar kejayaan sebagai sebuah wilayah yang maju, mampan dan berpendapatan tinggi.
“Insya-Allah, dengan iltizam, keyakinan dan kerjasama semua pihak, Sarawak akan terus melakar kejayaan sebagai sebuah wilayah yang maju, mampan dan berpendapatan tinggi demi generasi hari ini dan masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Sarawak 2026 kepada seluruh rakyat negeri ini serta menggesa semua pihak agar terus berganding bahu menjayakan aspirasi Sarawak Maju Makmur.




